Jururawat dari Johor jadi pilihan hospital luar negara dengan gaji RM20,000 sebulan

Image may contain: 2 people, people sitting

JOHOR BAHRU 29 Jun – Kira-kira 10 jururawat kerajaan di negeri ini setiap bulan menerima tawaran berkhidmat di negara luar terutama Asia Barat, Singapura dan Brunei setiap bulan dengan gaji mencecah RM20,000, sekali gus menjadikannya antara profesion yang menawarkan gaji lumayan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, trend itu berlaku sejak tiga tahun lalu dan ramai jururawat yang berkhidmat di hospital atau klinik kesihatan negeri ini memberikan notis berhenti kerja.

“Setiap bulan, kami menerima kira-kira 10 permohonan berhenti kerja kerana mereka mendapat tawaran di luar negara. Ini sebenarnya satu perkembangan baik kerana perkhidmatan yang diberikan jururawat negara ini terutama kakitangan kerajaan diiktiraf negara asing.

“Malah mereka (negara asing) sanggup menawarkan gaji lumayan kepada jururawat ini. Perkhidmatan mereka benar-benar menepati piawaian ditetapkan dan negara-negara ini memerlukan perkhidmatan profesional untuk membantu menjaga pesakit di hospital negara-negara berkenaan.

“Jumlah itu tidak termasuk bilangan jururawat yang berkhidmat di luar negara dari hospital swasta atau lepasan kolej kejururawatan di seluruh negara. Saya yakin perkembangan trend ini akan berterusan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, antara negara yang sering menawarkan pekerjaan kepada jururawat Malaysia termasuklah Arab Saudi, Qatar, Singapura serta Brunei dengan gaji yang ditawarkan bergantung kepada jawatan disandang jururawat itu di negara ini.

Katanya, selain gaji pokok lebih tinggi dan pelbagai elaun serta tempoh kontrak yang singkat iaitu setahun menyebabkan lebih ramai jururawat dari Malaysia berhijrah ke luar negara.

“Sebelum ini, negara-negara ini menawarkan kerja dengan kontrak selama dua tahun dan keadaan itu menyebabkan ada yang bimbang mereka tidak serasi di negara asing kerana perlu berjauhan dengan keluarga.

“Bagaimanapun, sejak syarat kontrak berubah kepada setahun, lebih ramai menerima tawaran berkenaan dan apabila sudah serasi, mereka akan menyambung kontrak,” katanya.

Berikutan itu beliau berharap jururawat yang masih berkhidmat di negara ini supaya menjalankan tanggungjawab dengan penuh ikhlas dan amanah dan berikan perkhidmatan terbaik kerana satu hari nanti mereka mungkin menerima tawaran lain dengan gaji lumayan.

Menurutnya, peranan doktor dan jururawat sama pentingnya kerana mereka bersama-sama menjaga pesakit ketika mendapatkan rawatan, malah peranan jururawat lebih penting kerana perlu memberikan penjagaan dan keselesaan dan menaikkan semangat kepada pesakit.

Katanya, peranan hospital swasta milik Johor Corporation (JCorp) yang banyak menawarkan perkhidmatan hospitaliti membantu mempromosikan perkhidmatan kesihatan negara ini kepada penduduk luar negara, sekali gus menjadikan kakitangan sektor itu lebih dikenali.

Comments

comments



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments