Adakah Thailand akan bina Terusan Kra?

Image may contain: text

BANGKOK – THAILAND. Selama lebih 300 tahun, persoalan sama ada untuk membina Terusan Kra atau tidak telah berkali-kali dibincangkan dan dipertimbangkan di Thailand tanpa sebarang keputusan tegas yang diambil mengenai projek multi-bilion itu yang menimbulkan kontroversi.

Oleh kerana inisiatif China “Satu Jalur, Satu Jalan” mula diterima di kalangan ekonomi serantau, terdapat usaha baharu dan diselaraskan di kalangan pihak-pihak yang menyokong projek itu untuk mendesak supaya projek Terusan Kra segera dilaksanakan.

Semasa “International Conference on Technology for Sustainable Paths to Thailand’s Future. Kra Canal” baru-baru ini, beberapa pakar China seperti dijangka adalah kumpulan yang paling ghairah melobi kerajaan Thailand memberi restu kepada cadangan pembinaan terusan sepanjang 130 km itu.

Mereka berhujah bahawa Terusan Kra atau Terusan Thai seperti dikenali sekarang akan menjimatkan kos perkapalan dan masa  kerana terusan yang menghubungkan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik akan memendekkan jarak pelayaran lebih 1,200 km atau tempoh pelayaran “dua hingga tiga hari” melalui kapal tanpa melintasi Selat Melaka yang sempit dan sesak.

Pakar-pakar dari China itu mahu kerajaan Thailand yang diterajui oleh tentera supaya “jangan lagi membuang masa” dan mula menjalankan kahjian kemungkinan mengenai terusan itu sebagai langlah pertama untuk memenuhi impian yang lama ditunggu selama lebih 300 tahun.

“Selepas China mencadangkan inisiatif OBOR, banyak pihak di Thailand pada umumnya percaya bahawa peluang untuk membina terusan tersebut telah tiba. Inisiatif itu memberi peluang keemasan untuk Terusan Segenting Kra.”

“Oleh kerana pembangunan Terusan Kra adalah amat penting kepada Thailand, jabatan-jabatan berkaitan di Thailand disyorkan memulakan kajian kemungkinan dengan secepat mungkin,” kata Prof Zhou Dawei dari Peking University ketika membentangkan kertas cadangan bertajuk ” Terusan Kra di bawah Inisiatif Satu Jalur, Satu Jalan” (OBOR) pada persidangan itu.

Seorang lagi pakar dari China, Dr Jingsong Zhao yang menyokong pembinaan Terusan Kra berkata, terusan itu akan memberi manfaat besar kepada negara dan menjadikan ia sebagai hab perkapalan antarabangsa yang baharu dengan menggabungkan perkhidmatan perkapalan, perdagangan dan kewangan ke Thailand.

Menurut beliau, projek Terusan Kra adalah projek abad terbesar” dan akan memberi impak besar kepada Thailand bukan sahaja dalam bidang ekonomi, politik, sains dan teknologi tetapi juga daripada segi strategik dalam domain maritim memandangkan ia menghubungkan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.

Bagaimanapun, pengkritik projek tersebut mendakwa terusan itu yang terletak di Segenting Kra di selatan Thailand memendekkan jarak pelajaran hanya 1,200km melalui laut berbanding 10,000 km bagi Terusan Suez dan 7,000 km bagi Terusan Panama.

Faedah ekonomi tidak dapat diabaikan, kata mereka.

Pengkritik sering berhujah balas dengan menyatakan manfaat ekonomi daripada pembinaan Terusan Kra adalah “terlalu kecil” untuk menjustifikasi pembinaannya melibatkan kos yang tinggi.

Pakar-pakar menganggarkan kos pembinaan terusan itu ialah antara US$30 bilion hingga US$50 bilion atau lebih bergantung kepada lebar, kedalaman dan laluan terusan itu.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Kajian Terusan Kra, Pakdee Tanapura telah meredakan kebimbangan pihak tertentu mengenai kemungkinan impak negatif daripada pembinaan terusan itu, terutama Singapura yang sangat bergantung kepada perdagangan maritim.

Menurut beliau, walaupun Thailand akan meraih banyak manfaat ekonomi dengan pembinaan Terusan Kra, impak pengganda daripada projek raksasa itu adalah terlalu besar dan memberi manfaat kepada keseluruhan ekonomi Asia Tenggara.

“Asia Tenggara akan menjadi hab ekonomi dunia,” kata beliau yang telah lama menyokong projek Terusan Kra.

Walaupun bimbang mengenai impaknya kepada negara-negara jiran, Pakdee berkata mencari laluan perkapalan alternatif ke Selat Melaka sebenarnya proses yang telah lama tertangguh kerana selat tersebut yang 20 peratus daripada perdagangan dunia melaluinya hanya “beberapa tahun lagi” sebelum mencapai takat maksimum.

Beliau menarik perhatian kepada kajian oleh Institut Maritim Malaysia (MIMA)yang menyatakan bahawa Selat Melaka hanya boleh menampung maksimum sebanyak 122,000 kapal setahun sementara  Bank Dunia menganggarkan 122, 640 kapal akan melalui selat itu pada 2020.

Terusan Kra akan mengalihkan kesesakan semasa di Selat Melaka dan meminimumkan risiko perlanggaran kapal seperti yang berlaku bulan lepas apabila kapal pemusnah Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) “USS John S.McCain” berlanggar dengan sebuah kapal dagang berdaftar di Liberia yang mengorbankan 10 orang kelasi kapal AS itu. –Bernama

Comments

comments



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments