Pungutan suara Kurdistan mungkin cetus huru hara: AS

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran, pungutan suara kemerdekaan untuk puak Kurdis Iraq berpecah daripada Baghdad akan 'mencetuskan huru hara.'

Undian itu meningkatkan ketegangan dengan kerajaan Iraq dan negara jiran. Ketika hasil undian 'Ya' dijangka, pungutan suara itu bagaimanapun tidak terikat dan pihak berkuasa Kurdis berkata, tiada rancangan untuk pengisytiharan segera kemerdekaan.

"AS amat kecewa dengan keputusan Kerajaan Serantau Kurdistan menjalankan pungutan suara kemerdekaan sebelah pihak termasuk di kawasan di luar Rantau Kurdis Iraq.

"Hubungan bersejarah AS dengan rakyat Rantau Kurdis Iraq tidak akan berubah susulan pungutan suara tidak terikat itu, namun kami percaya langkah itu akan meningkatkan ketidakstabilan dan kesukaran buat rantau Kurdis dan rakyatnya," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert dalam satu kenyataan.

Pembuat dasar di Baghdad menuntut tentera dihantar ke kawasan bertelingkah di mana pungutan suara diadakan dan perintah berkurung waktu malam dilaksanakan di beberapa bahagian bandar Kirkuk.

Iran dan Turki, kedua-duanya bimbang undian akan mencetuskan aspirasi pemisahan dalam kalangan minoriti besar Kurdis sendiri, turut meningkatkan tekanan ke atas Kurdis Iraq, dengan Ankara mengatakan semalam, ia akan menutup sempadan dan mengancam menyekat eksport minyak utama.

"Perjuangan menentang ISIS (Daesh) belum berakhir dan kumpulan pelampau mencari jalan mengeksploitasi ketidakstabilan dan perselisihan.

"Kami percaya semua pihak perlu berdialog untuk memulihkan masa depan seluruh rakyat Iraq. AS menentang keganasan dan tindakan unilateral oleh mana-mana pihak untuk mengubah sempadan," kata Nauert.

Dalam pada itu, penduduk Kurdis Iraq tidak mengendahkan tentangan meluas dengan membuang undi semalam dalam pungutan suara bersejarah, mencetuskan ketegangan baharu dengan Baghdad, ancaman daripada Turki dan kebimbangan pergolakan.

Undian di rantau autonomi Kurdis di utara Iraq dan sesetengah kawasan bertelingkah tidak diikat dan secara automatik tidak menjurus kemerdekaan, namun dilihat puak itu sebagai langkah besar ke arah impian sekian lama menjadi sebuah negara. - AFP



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments