Takdir atau kecuaian manusia?

SEDIH dan tragis! Itulah ungkapan yang mampu diucapkan. Kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, awal pagi semalam, amat menusuk kalbu.

Lebih 20 jiwa suci terkorban. Secara zahirnya kita boleh mengatakan itu adalah qada dan qadar yang sudah termaktub sejak azali, kita sebagai orang beriman, harus akur tanpa soal dan menerimanya dengan reda akan ketentuan-Nya.

Namun, tidak salah meneliti sebab dan punca yang membawa kepada malapetaka ini. Artikel ini tidak bermaksud menuding jari atau mencari kesalahan mana-mana pihak kerana itu semua tidak akan menyelesaikan masalah dihadapi. Nyawa mereka yang terkorban juga mustahil dikembalikan.

Apa yang dikongsikan di sini adalah aspek kenapa peristiwa tragis ini berlaku dan bagaimana kaedah terbaik yang boleh dilakukan semua pihak sebagai langkah berjaga-jaga agar peristiwa hitam ini tidak berulang.

Berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Soiman Jahid, pemeriksaan awal mendapati pusat tahfiz itu belum mendapat kelulusan pihak berkuasa. Ini bermaksud pusat tahfiz itu beroperasi secara 'haram'. Haram di sini bukan bermaksud haram daripada sudut hukum tetapi daripada sudut perundangan.

Undang pelbagai risiko

Mungkin ada yang mengatakan adalah tidak adil melabelkan pusat tahfiz seperti itu kerana di situlah tempatnya anak diajar mengaji, menghafaz dan memahami ayat Allah. Namun, kita harus sedar dengan menjalankan operasi pusat tahfiz secara 'haram' ia akan mengundang banyak risiko antaranya risiko kebakaran seperti yang berlaku.

Persoalannya, apakah al-Quran mengajar umat-Nya lalai dan cuai dalam menguruskan sesuatu? Jawapannya pasti tidak. Justeru, pihak yang mengendalikan mestilah mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa manakala pihak berwajib pula haruslah bertindak lebih tegas demi menyelamatkan nyawa anak yang tidak berdosa, kerana melindungi nyawa antara maqasid syariah yang penting dalam Islam.

Dalam kenyataan pihak bomba juga menyatakan bahawa kemungkinan punca kebakaran disebabkan litar pintas dan gegelung ubat nyamuk. Meskipun ini mungkin bukan punca sebenar yang membawa kepada tragedi ini, namun aspek ini wajib diberi perhatian. Kebakaran berpunca daripada gegelung ubat nyamuk bukan kali pertama berlaku. Namun ramai yang tidak memberi perhatian serius. Bak kata pepatah, sudah terhantuk baru tengadah.

Mungkin akibat kekurangan dana, maka banyak pusat tahfiz persendirian menggunakan khidmat pendawaian daripada golongan kurang profesional bagi menjimatkan kos. Akibatnya banyak kes kebakaran disebabkan oleh pendawaian yang tidak mematuhi piawaian ditetapkan dan a membawa bencana yang sepatutnya boleh dielakkan.

Tiada alat padam kebakaran

Menurut kenyataan pihak bomba, pusat tahfiz itu juga tiada peralatan memadam kebakaran. Ini juga boleh dianggap kecuaian yang sepatutnya boleh dielakkan.

Meskipun kita tidak menafikan keikhlasan pemilik pusat tahfiz memartabatkan al-Quran, namun sebagai pemilik yang diamanahkan oleh ibu bapa, perlulah lebih bertanggungjawab bukan hanya sekadar mendidik pelajar dengan ajaran al-Quran, tapi pada masa sama menjaga keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Takziah kepada semua ibu bapa dan keluarga anak-anak yang terkorban, moga Allah meletakkan anak-anak itu di dalam syurga penuh kenikmatan. Amin.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments