Penyenaraian AS satu provokasi serius: Pyongyang

SEOUL: Korea Utara hari ini mengecam keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyenaraikannya sebagai negara penaja keganasan, menggelarnya 'satu provokasi serius dan pelanggaran kejam', lapor media kerajaan Pyongyang.

Trump meletakkan Korea Utara kembali dalam senarai negara penaja keganasan Isnin lalu, gelaran yang membolehkan AS melaksanakan lebih banyak sekatan dan berisiko meningkatkan lagi ketegangan berhubung program peluru berpandu dan senjata nuklearnya.

Dalam reaksi pertama Korea Utara terhadap penyenaraian itu, seorang jurucakap Kementerian Luar menafikan dalam satu wawancara dengan cawangan media tempatan, KCNA bahawa kerajaannya terbabit dalam sebarang keganasan.

Beliau menggelar label negara penaja keganasan 'sebagai alat untuk gaya pemerintahan kuku besi AS yang boleh dilekat atau dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut kepentingannya.'

Pegawai Korea Utara itu berkata, penyenaraian AS itu hanya menjadikan negaranya lebih komited untuk membangunkan senjata nuklear.

"Selagi AS terus dengan dasar kejam anti-DPRK, tentangan kami akan lebih diperkukuhkan. AS akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas semua akibat yang wujud susulan provokasi kurang ajar terhadap DPRK," katanya merujuk nama rasmi Pyongyang.

Keputusan Trump itu dibuat seminggu selepas kembali daripada kunjungan 12 hari di lima negara Asia dengan perbincangan cita-cita nuklear Pyongyang menjadi agenda utama. -Reuters



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments