Amaran ribut petir di perairan Selat Melaka

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di perairan Selat Melaka Utara, Selatan dan Utara Reef serta Labuan yang dijangka berterusan hingga lewat pagi ini.

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter serta berbahaya kepada bot-bot kecil.

"Ribut petir di perairan Pulau Pinang, Kedah, Perak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak (Kuching, Bintulu dan Mukah) dijangka berterusan dalam tempoh yang sama," kata MetMalaysia dalam satu kenyataan, pagi ini.

Angin kencang Timur Laut berkelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian hingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan timur laut Condore dan barat laut Utara Reef, pagi ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dan ombak mencapai ketinggian hingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan selatan Condore, utara Bunguran, tengah Utara Reef dan barat laut Selatan Reef dalam tempoh yang sama.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments