Tiga beradik mahu manfaat rumah untuk aktiviti agama

JERTIH: "Kami tidak pernah menyangka akan mendapat sebuah rumah sebagai tempat berlindung selepas 23 tahun dibesarkan oleh nenek saudara," kata Norehan Mohd Nor, 24.

Norehan bersama adiknya, Hariss Izzudin, 20, dan Nur Shahira, 22, menarik perhatian ramai apabila mereka tinggal dan dibesarkan oleh nenek saudara, C Cheniah, 65, beragama Hindu, sejak kecil.

Walaupun tinggal dengan nenek saudara yang berbeza agama dan amalan, Cheniah tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membentuk tiga beradik itu mengamalkan ajaran Islam.

Kisah tiga beradik berkenaan dipaparkan BH sejak Julai tahun lalu, sebelum mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Menteri Pendidikan Tinggi.

Norehan yang bekerja sebagai kerani insurans, berkata sebaik menerima Rumah Komuniti yang disumbangkan Pejabat Ahli Parlimen Besut, mereka berazam menjadikan kediaman itu tempat perkumpulan ahli keluarga dan mengeratkan silaturahim serta kasih sayang.

"Walaupun rumah ini kelihatan kecil di mata orang lain, tetapi ia amat bererti bagi kami. Lebih menggembirakan kami turut diberikan perabot dan kelengkapan rumah.

TIGA beradik beragama Islam (dari kiri) Nur Shahira, Norehan dan Harris Izzudin tinggal bersama Cheniah, sejak kecil. - Foto Mohamad Ishak

"Apa yang kami impikan, seisi keluarga dapat berhimpun bersama-sama di sini terutama bersama ibu (Norain Abdullah) dan mengaji al-Quran bersama-sama supaya rumah ini dapat dimanfaatkan sebaiknya.

"Di rumah nenek dahulu walaupun dia tidak kisah kami mahu menjalankan aktiviti keagamaan, kami segan mahu berbuat demikian kerana menghormati nenek," katanya menambah mereka turut dihantar belajar mengaji al-Quran oleh Cheniah.

Nur Shahira dan Hariss, masing-masing bekerja di restoran makanan segera di bandar Jertih dan Pasir Puteh.

Tiga beradik itu adalah anak kepada anak saudara Cheniah, Norain, 46, yang memeluk Islam dan berkahwin dengan anggota polis tetapi sudah berpisah dan menyerahkan hak penjagaan kepada warga emas itu.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, apa yang lebih menggembirakan pastinya saat menyambut perayaan Aidilfitri kelak, apabila lebih ramai ahli keluarga dapat menziarah mereka di rumah baharu.

"Pada usia 24 tahun, saya tidak sangka kami boleh memiliki rumah sendiri, apatah lagi mendapat rumah secara percuma atas kisah hidup kami.

"Tentunya kami berterima kasih kepada BH yang memaparkan kepada umum keunikan kehidupan kami tiga beradik yang dibesarkan nenek berlainan agama.

"Sungguh tidak disangka ia akhirnya mengurniakan rezeki kepada kami apabila Datuk Seri Idris dan Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof menghadiahkan rumah ini.

IDRIS (tiga dari kiri) diiringi Muhammad Pehimi (dua dari kiri) menyampaikan replika kunci rumah kepada Norehan di Kampung Belakang Gudang, Jertih, pada Ogos 2017. - Foto Muhammad Ishak

"Terima kasih banyak-banyak kepada semua pihak," katanya.

Walaupun mengakui sedih untuk berpisah dan tinggal berasingan dengan nenek yang menjaga mereka sejak sekian lama, Norehan yakin keputusan itu yang terbaik untuk masa depan mereka.

"Kini kami menjalani kehidupan sendiri dan belajar berdikari. Malah, kami mengemas rumah pun secara bergilir," katanya.

Sementara itu, Cheniah yang mesra dengan panggilan 'Mek Nab' dan tinggal di Lorong Selamat, Belakang Gudang, di sini, berharap tiga cucunya itu dapat menjalani kehidupan lebih baik dan selesa.

"Saya tumpang gembira mereka memperoleh rumah dan hidup berdikari. Sejak berpindah, mereka sering menelefon bertanya khabar dan jika tiada halangan akan pulang menjenguk saya setiap hujung minggu atau saya menziarah mereka," katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments